GUA MUSANG: Hasrat seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Ciku, Mohd Zulkifli Nordin, 13, untuk memiliki dua tangan palsu selepas dilahirkan tanpa kedua-dua tangan semakin cerah.
Ini berikutan doktor yang kali pertama merawatnya di Hospital Gua Musang (HGM) Rabu lalu menyatakan remaja terbabit mempunyai harapan untuk memasang dua tangan palsu sungguhpun kecacatan yang dimilikinya hingga ke paras bahu.
Bagaimanapun, Mohd Zukifli bimbang biarpun mempunyai peluang cerah untuk menggunakan tangan palsu berkenaan, keluarganya tidak mampu menanggung kos yang bernilai puluhan ribu ringgit.
“Saya gembira apabila doktor memberitahu saya masih ada harapan memiliki tangan palsu.
“Walaupun saya mampu melakukan tugasan harian menggunakan kaki, namun sekiranya memiliki tangan palsu sekurang-kurangnya ia memudahkan aktiviti harian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, dekat sini, kelmarin.
Mohd Zulkifli berkata, dia dilatih kedua ibu bapa untuk berdikari sejak berusia lima tahun termasuk makan, menulis serta melakukan kerja lain menggunakan kaki, selain tidak pernah terfikir menggunakn tangan palsu.
“Bukan saja keluarga tidak mampu membeli tangan palsu, tetapi saya pernah diberitahu sukar untuk saya mendapatkannya dengan keadaan kecacatan tangan ke paras bahu,” katanya.
Ibunya, Latifah Isa, 50, berkata, dia terharu dengan sikap prihatin ditunjukkan pelbagai pihak mengenai nasib menimpa anaknya sejak berita mengenai Mohd Zulkifli disiarkan Harian Metro, baru-baru ini.
Katanya, dia bersama suami, Nordin Ismail, 52, menerima banyak panggilan telefon daripada orang perseorangan dan ahli korporat yang sedia menghulurkan sumbangan untuk membeli tangan palsu Mohd Zulkifli.
Katanya, ketika itu dia belum mendapat pengesahan daripada doktor sama ada Mohd Zulkifli boleh dipasang kedua-dua tangan palsu atau tidak serta kosnya.
“Perkara itu memaksa saya bersama suami membuat temu janji dengan doktor dan selepas melakukan pemeriksaan awal Rabu lalu, peluang semakin cerah, tetapi perlu tunggu rawatan kedua dengan doktor pakar di Kota Bharu nanti,” katanya.
_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _
sumber: harian metro/25 February
"Berat mata memandang,Berat lagi bahu yang memikul"
Semoga adik Zulkifli tak patah semangat untuk terus berjuang......
|
1 ulasan:
Salam
Subhanallah
Catat Ulasan