KUALA LUMPUR 15 Nov. - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melakukan transformasi kedua terhadap pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi memperbaiki kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU).
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tumpuan transformasi itu terbahagi kepada tiga iaitu pemerkasaan ekonomi OKU, penggunaan Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC) serta memastikan PDK boleh diakses semua kategori OKU.
Katanya, ia susulan transformasi pertama oleh kementerian pada 2007 yang mendapat peruntukan kira-kira RM60 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
"Kementerian difahamkan ramai di antara mereka mahu berdikari tanpa mengharapkan bantuan semata-mata. Sebab itu, kita mahu gilap bakat melalui latihan dan beri peluang mereka perkasakan ekonomi.
"Teknologi terkini seperti AAC juga akan digunakan dalam program berkenaan selain latihan teknik terbaru untuk petugas PDK bagi mengendalikan mereka. Prasarana pula akan ditingkatkan agar PDK dapat diakses oleh semua," katanya.
Beliau ditemui selepas menutup Konvensyen PDK Asia-Pasifik yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 November lalu di Hotel Berjaya Times Square di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, Harjit Singh; Pengerusi Perhubungan PDK Asia Pasifik, Noor Yasmin Abd. Karim serta 500 peserta dari 32 negara rantau itu.
Sehingga ini, 18,943 OKU telah mendapat manfaat daripada PDK.
Shahrizat menambah, melalui transformasi kedua itu, kerajaan turut mempelawa syarikat-syarikat korporat serta entiti bisnes memberi peluang pekerjaan kepada OKU selain membantu mereka menjana pendapatan sendiri.
"Saya harap pihak swasta dapat mengambil langkah ke depan dengan menyediakan kemudahan untuk memberi ruang kepada OKU bekerja. Setakat ini, saya masih belum berpuas hati mengenainya," ujar beliau.
Sementara itu, Shahrizat meminta masyarakat menukar cara pemikiran agar menjadi lebih mesra OKU bagi memastikan setiap individu dapat memberi lebih banyak sumbangan kepada kemajuan negara.
"Halangan terbesar adalah kita tidak memikirkan mengenai keperluan OKU dalam negara ini apabila melakukan sesuatu.
"Undang-undang sudah ada dan Kerajaan Pusat telah lakukan segalanya. Tetapi jika masyarakat kita tidak mahu berubah dan pihak berkuasa tempatan tidak melakukan sesuatu, kita akan ketinggalan untuk mencapai status negara maju," katanya.